Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan 2022 merupakan salah satu daripada Agenda Nasional Malaysia Sihat.
Kementerian Kesihatan (KKM) mensasarkan 1.5 juta rakyat Malaysia yang berusia 40 tahun ke atas terutama bagi yang belum pernah menjalani saringan kesihatan untuk melakukannya pada tahun ini.
Menurut Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kerajaan menawarkan saringan kesihatan yang komprehensif secara percuma melalui program saringan kesihatan yang dilaksanakan oleh kementerian dan ProtectHealth menerusi Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKa B40).
Beliau yakin dengan adanya inisiatif ini, lebih ramai rakyat Malaysia yang akan menyedari penyakit yang mereka ada dari awal contohnya penyakit pra kencing manis. Dengan saringan yang lebih awal, nasihat dan rawatan awal dapat diberikan untuk mengurangkan dan mengawal bilangan rakyat menghidap penyakit serius. Sejurus itu, dapat mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik-klinik kesihatan. Demikian ucapan beliau ketika Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perak dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya.


Imbas kod QR yang tertera pada poster untuk mendapatkan senarai perkhidmatan saringan kesihatan.