Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan Bantuan Am (BA) Persekutuan untuk mereka yang memerlukan dan bermastautin di Wilayah Persekutuan. Bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban individu atau keluarga yang kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan serta kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Kadar Bantuan
Kadar Bantuan Am Persekutuan ditetapkan sebanyak minimum RM100 sebulan seorang dan maksimum RM350 sekeluarga.
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara dan bermastautin di Wilayah Persekutuan;
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
- Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain
Permohonan
Pemohon yang menepati syarat-syarat kelayakan boleh kemukakan permohonan ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian terdekat.
Pemohon juga perlu membawa dokumen-dokumen berikut ketika mengemukakan permohonan:
- Salinan Kad Pengenalan diri pemohon;
- Salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama;
- Salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama;
- Salinan penyata gaji (jika ada);
- Lain-lain dokumen yang berkaitan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari Laman Sesawang Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat.